KUALA LUMPUR, 21 Disember - Keputusan kerajaan untuk meneruskan subsidi elektrik pada tahun hadapan dianggap langkah tepat dalam membantu pelbagai lapisan masyarakat sekali gus memastikan keseimbangan ekonomi negara.
Menurut Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, inisiatif ini sangat bermakna khususnya golongan B40 yang terkesan oleh tekanan kos sara hidup.
Katanya, pelaksanaan itu juga juga berperanan mengekalkan kestabilan kadar inflasi negara dengan menyokong keseimbangan kos barangan dan perkhidmatan.
"Ia turut membantu golongan lain seperti golongan M40 termasuk juga para peniaga kecil dalam menstabilkan lagi harga barangan.
"Sekiranya harga elektrik tidak disubsidi dan dibiarkan pada kadar yang sebenar, maka mungkin kadar inflasi akan meningkat nanti.
"Apa yang berlaku adalah ia turut membantu mengekalkan harga barang tanpa mendapat sebarang kesan kenaikan ke atas tenaga yang perlu dibayar oleh para pekedai," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Dr. Aimi turut menambah bahawa langkah ini membantu mengekalkan harga barang tanpa terkesan oleh kenaikan kos tenaga yang perlu ditanggung para pekedai.
Keputusan mengekalkan subsidi bukan sahaja meringankan beban rakyat tetapi juga penting untuk memastikan harga barangan kekal stabil, terutamanya menjelang musim perayaan yang sering menyaksikan peningkatan permintaan.