KUALA LUMPUR, 1 Mac- Pencapaian dividen yang kukuh dan berdaya saing oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuktikan daya tahan serta komitmennya dalam memastikan masa depan persaraan ahli terjamin.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerusi catatan di laman media sosialnya berkata, KWSP sekali lagi berjaya mengatasi jangkaan, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut berbangga dengan prestasi Simpanan Shariah yang berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024.
"Peningkatan caruman sukarela juga jelas menunjukkan semakin ramai rakyat memilih untuk mempunyai jumlah simpanan yang mencukupi apabila bersara kelak.
"Ketiga-tiga pencapaian iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh," katanya.
Beliau berkata, prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.