fb fb fb fb fb

Kadar bantuan isi rumah miskin, warga emas dinaikkan

Bantuan warga emas akan dinaikan daripada RM500 kepada RM600 sebulan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Bantuan warga emas akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan, kata Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, peningkatan kadar bantuan kebajikan itu untuk golongan miskin di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, ia melibatkan keseluruhan peruntukan berjumlah RM2.9 bilion berbanding RM2.4 bilion sebelum ini.

"Tanggungjawab kita adalah untuk pastikan tiada keciciran. Oleh itu, pihak JKM dan ICU, JPM harus berganding bahu dan menggandakan usaha verifikasi golongan miskin," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peningkatan kadar bantuan kanak-kanak keluarga miskin.

"Kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah akan menerima RM250 sebulan berbanding RM200 sebelum ini.

Manakala kanak-kanak berusia tujuh hingga 18 tahun akan menerima RM200 berbanding RM150, tertakluk kepada maksimum RM1,000 setiap keluarga.

“Bagi Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150 dengan kadar maksimum sebanyak RM500 sekeluarga sebulan,” kata Anwar di Dewan Rakyat.

Beliau turut menyeru Kerajaan Negeri untuk menambah baik Kadar Bantuan Am Negeri.

"Bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan JKM akan membolehkan isi rumah miskin dengan tiga anak menerima bantuan lebih RM13,000 setahun," katanya.

Tambah Anwar, ia bakal memanfaatkan 9 juta penerima bersamaan 60 peratus penduduk di negara ini.

“Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, ketimbang 700,000 penerima tahun ini,” jelasnya.

Tambahnya, bantuan SARA itu akan dikreditkan kepada penerima mulai April 2025.

“Ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

"Manakala warga emas miskin akan layak menerima bantuan melebihi RM10,000 setahun.

“Ini memastikan tiada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM1,100 sebulan... dan ini belum mengambil kira bantuan Kerajaan Negeri, Zakat, dan Yayasan,” tambahnya.

GRACE AISYAH KEDAYAN