
KULIM, 12 Februari- Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) melupuskan 1,217 ekor burung gagak susulan isu kacau ganggu yang menjejaskan kebersihan dan kesejahteraan penduduk setempat.
- MPKK melupuskan 1,217 ekor gagak melalui Operasi Menembak Gagak Siri 1 Tahun 2026 bagi kawalan populasi.
- Operasi melibatkan 10 penembak dan 60 petugas termasuk anggota MPKK dan PDRM di tujuh kawasan utama.
- Langkah diambil susulan aduan pencemaran najis, gangguan bunyi dan risiko penularan penyakit; pemantauan berkala dan operasi susulan dirancang.
Yang Dipertua MPKK, Datuk Elmi Yusoff berkata langkah kawalan populasi secara bersepadu itu dilaksanakan menerusi Operasi Menembak Gagak Siri 1 Tahun 2026 yang bermula sejak Ahad lalu.
Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan susulan peningkatan aduan awam berkaitan pencemaran najis, gangguan bunyi dan risiko penularan penyakit yang mengancam kualiti hidup komuniti setempat.
Operasi itu melibatkan 10 penembak dengan sokongan 60 petugas termasuk anggota MPKK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala tujuh kawasan utama menjadi tumpuan iaitu Taman Kemuning, Taman Selasih, Taman Semarak, Pekan Kulim dan sekitar Kulim Landmark Central.
Datuk Elmi memaklumkan pemantauan ketat dilakukan sepanjang operasi bagi memastikan keselamatan orang awam.
Tambah beliau, MPKK akan meneruskan pemantauan berkala dan mempertimbangkan operasi susulan di kawasan lain termasuk pekan kecil bagi menyokong pengurusan perbandaran yang mampan.