
KUALA LUMPUR, 22 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut pada Jumaat ini berhubung isu tarif Amerika Syarikat (AS).
- Kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut pada Jumaat mengenai isu tarif Amerika Syarikat.
- Kerajaan meneliti isu tarif itu secara terperinci sebelum mengeluarkan sebarang reaksi.
- MITI sedang menyelaras dengan pihak berkepentingan termasuk Washington dan negara Asia Tenggara untuk tindakan seterusnya.
Tegasnya, kerajaan sedang meneliti secara terperinci isu tarif AS tersebut sebelum memberikan sebarang reaksi selanjutnya.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) kini sedang menyelaras perkara berkenaan bersama pihak berkepentingan termasuk di Washington serta rakan-rakan di Asia Tenggara bagi menentukan hala tuju seterusnya.
“Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) telah bagi penjelasan, kita akan dapat penjelasan teliti baru kita respon. Kita tunggu mesyuarat hari Jumaat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai keputusan Mahkamah Agung AS pada Jumaat lepas yang membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif diperkenalkan Donald Trump sebelum ini, dengan memutuskan Presiden AS itu tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang negara berkenaan untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.
Trump kemudian dilapor berkata beliau akan mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus terhadap negara di seluruh dunia di bawah kuasa baharu selepas Mahkamah Agung membatalkan kempen cukai import globalnya.