Jurugambar Bernama dikejarkan ke hospital, rakan media hulur bantuan

Razali dihantar ke Hospital Umum Sarawak dengan bantuan pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS)

KUCHING, 3 April – Jurugambar Bernama Sarawak, Razali Nordin, 54, dikejarkan ke hospital hari ini selepas keadaan kesihatannya merosot akibat pelbagai komplikasi penyakit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Razali menghidap injap jantung, batu karang hempedu, gangguan buah pinggang dan diabetes.
  • Beliau ingatkan wartawan perlu berkorban; kesihatan tidak boleh dipandang remeh.
  • Rakan media dan KDJA bersatu membantu, memastikan urusan membawa Razali berjalan lancar.

Razali yang menghidap masalah injap jantung, batu karang dalam hempedu, gangguan buah pinggang serta diabetes, dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan bantuan pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menurut beliau, kerjaya sebagai wartawan menuntut pengorbanan besar dan kesihatan tidak boleh dipandang ringan.

“Bukan setiap hari kerja ini menyeronokkan. Kita kena beringat, bila sakit datang, ia tidak mengenal usia,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Zulazhar Sheblee berkata, semangat kebersamaan dalam kalangan pengamal media kekal utuh walaupun selepas pandemik COVID-19.

“Kita sebagai media kena bersatu padu untuk membantu setakat yang termampu,” katanya.

Operasi membawa Razali ke hospital turut dibantu rakan-rakan media yang bersama-sama memastikan urusan berjalan lancar.

Rakan-rakan media turut hadir membantu Razali