fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu menurun

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Terengganu menurun kepada 824 orang setakat pukul 8.00 malam tadi berbanding 998 penduduk pada pukul 7.00.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan kini hanya tinggal 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah yang masih dibuka.

"Dungun semakin berkurangan kepada 595 berbanding 770 penduduk, Marang 179 manakala Setiu 50 orang.

"PPS di Hulu Terengganu dan Besut telah ditutup pada pukul 6.00 petang tadi," kata JPBN Terengganu menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, jumlah penduduk terjejas banjir di Perak pula meningkat kepada 87 orang daripada 26 keluarga, setakat pukul 8.00 malam.

Jumlah berkenaan meningkat berbanding 82 orang daripada 25 keluarga yang direkodkan pada pukul 4.00 petang tadi.

Sekretariat JPBN Perak menerusi kenyataan memaklumkan, satu PPS dibuka melibatkan daerah Hilir Perak.

"PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 87 penduduk terjejas daripada 26 keluarga," kata JBPN Perak.

Difahamkan, hujan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air Sungai Bidor meningkat dan melimpahi tebing berhampiran sehingga memasuki beberapa kediaman.

Sementara itu, di Kelantan, InfoBencanaJKM melaporkan seramai 4,840 penduduk terjejas banjir daripada 1,528 keluarga berada di 15 PPS di negeri itu setakat pukul 8.00 malam tadi.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 4,569 orang daripada 1,443 keluarga petang tadi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM