fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak meningkat

FOTO APM PERAK

IPOH, 3 November- Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak setakat pukul 8.00 pagi tadi, terus mencatatkan peningkatan kepada 419 orang daripada 379 orang yang direkodkan sejak semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, setakat ini lima pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di tiga daerah yang terlibat.

Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak kekal menempatkan 171 penduduk daripada 50 keluarga melibatkan 11 kawasan terjejas.

PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pula merekodkan 51 penduduk terjejas daripada 14 keluarga.

Di Kerian, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 100 orang daripada 24 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu dengan 57 penduduk melibatkan 19 keluarga.

Akhir sekali, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar di Hulu Perak yang baru dibuka semalam, menempatkan 40 penduduk terjejas daripada 14 keluarga.

Ia melibatkan penduduk dari Kampung Paya Kuak Luar, Kampung Bukit Serdang Air Panas, Kampung Kuak Tengah dan Kampung Raja Kayu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong yang mencatatkan paras bahaya iaitu 3.81 meter daripada paras normal 2.00 meter.

Tahap berwaspada turut dikeluarkan bagi Sungai Kinta Weir Tanjung Tualang yang melebihi 10.00 meter ketika ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE