fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di dua negeri kembali meningkat pagi ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Bilangan penduduk terjejas banjir di Kedah dan Johor meningkat semula pagi ini.

Manakala keadaan di Selangor dan Melaka bertambah baik setakat pukul 8.00 pagi.

Di Kedah, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) menempatkan 439 penduduk terjejas berbanding 305 orang malam tadi. PPS terlibat ialah tiga di daerah Kubang Pasu dan satu lagi di Pendang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, jumlah penduduk tertinggi ialah di Kubang Pasu iaitu 252 orang diikuti Pendang 187.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan ribut petir menyeluruh akan berlaku sepanjang hari ini di Kedah.

Dalam pada itu, di Johor Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata sebanyak 601 penduduk terjejas banjir di daerah Kluang, Pontian dan Batu Pahat masih berlindung di tiga PPS, meningkat berbanding 582 orang malam tadi.

Beliau berkata keadaan cuaca diramalkan cerah bagi kesemua 10 daerah namun Sungai Sembrong di Batu 2 Sembrong, Batu Pahat berada pada paras amaran.

Di Perak, Sekretariat JPBN memaklumkan penduduk terjejas pagi ini berkurang kepada 297 orang berbanding 298 orang malam tadi dan semuanya ditempatkan di empat PPS iaitu dua di daerah Kerian, manakala masing-masing satu di Taiping dan Hilir Perak.

MetMalaysia meramalkan kesemua daerah di Perak mengalami ribut sebelah petang ini.

Di Selangor, Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Gombak dan Kuala Selangor pagi ini berkurang kepada 173 orang berbanding 186 malam tadi dan kesemuanya ditempatkan di tiga PPS.

Di Melaka, jumlah penduduk terjejas juga berkurangan kepada 22 orang berbanding 23 semalam dan Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mereka dari Kampung Parit Lampong dan Kampung Tanjong Laboh ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tehel, Jasin.

TETITIA YUSOFF