BESUT, 4 Mei- Jumlah miskin tegar seramai 7,426 isi rumah yang direkodkan dalam sistem eKasih bagi seluruh negeri Terengganu pada awal tahun 2024 kini menunjukkan penurunan sehingga 4,158 isi rumah.
Perkembangan itu memberi penanda aras positif dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan sebagai mana hasrat Perdana Menteri menjelang tahun 2025 dapat dirasionalkan.
Pada majlis Program Kasih Prihatin Negeri Terengganu peringkat daerah Besut, seramai 200 peserta telah diraikan semperna Aidilfitri ini untuk menerima Bakul Kasih sumbangan Jabatan Perdana Menteri yang disampaikan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu.
Selain itu turut terlibat sama dalam program berkenaan adalah beberapa agensi berkaitan yang menawarkan perkhidmatan dan bantuan kepada masyarakat setempat sekali gus merapatkan jurang untuk sebarang urusan bagi masyarakat luar bandar.
Program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, Azhar Abd Hamid.
Beliau berkata, program eKasih sewajarnya diambil manfaat sepenuhnya buat mereka yang ingin keluar daripada belenggu kemiskinan, di mana eKasih tidak hanya menyampaikan bantuan berupa makanan semata-mata malah turut melibatkan peluang dan ruang daripada pelbagai agensi yang turut membantu.
Rata-rata penerima yang ditemui menzahirkan tanda terima kasih dan bersyukur atas program yang amat bermanfaat tersebut.
"Hari ini kami diberikan bantuan dalam bentuk makanan tapi kalau dulu diberi modal untuk pelihara ayam.
"Sekarang baru tahu, kami terima duit, sebanyak RM200, terima kasih eKasih,"kata Anizan Hassan, salah seorang penerima eKasih.
"Memang susah kalau tidak menerima bantuan, kami orang susah, saya bekerja seorang, suami pun sakit,"kata Hasnah Yusof.