KANGAR, 13 Jun- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis melaksanakan Jualan Khas Semarak Aidiladha di 16 lokasi seluruh Perlis bermula 11 Jun sehingga 16 Jun ini.
Antara lokasi berkenaan termasuklah Pasar Tani Kekal Simpang Empat, Agrobazaar Rakyat Borong Wann Felcra Lubuk Sireh, Agrobazaar Rakyat Kampung Santan dan Agrobazaar Kedai Rakyat Tambun Tulang.
Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan memaklumkan pelaksanaan Jualan Khas Aidiladha itu bagi membantu 200 usahawan memasarkan barangan jualan terutama barangan keperluan pengguna dengan harga berpatutan bagi persediaan menyambut Aidiladha.
Selain itu, program tersebut juga membolehkan pengguna mendapatkan barangan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga jualan sebenar.
"Kita menyasarkan lebih kurang RM150,000 nilai jualan, berdasarkan sambutan yang ada."
"Pada hari ini dan juga tambahan lagi 15 cawangan seperti saya sebut tadi, lapan mengguna pakai cawangan usahawan fama dan tujuh lagi tambahan di pekarangan-pekarangan seperti di masjid, kariah setempat dan jabatan agensi yang berkenaan," kata Mohd Anzara.
Beliau ditemui pada pelancaran Jualan Khas Semarak Aidiladha di Pasar Tani Kekal Simpang Empat.
Antara barangan tumpuan pengguna ialah daging segar tempatan yang dijual pada RM28, ayam pada harga RM10 seekor dan jualan kombo pada harga RM10 setiap set.