fb fb fb fb fb

Jualan Sejahtera di Perlis, inisiatif bantu rakyat

Program Jualan Sejahtera melibatkan jualan murah ayam segar

KANGAR, 7 Disember- Jualan Sejahtera di Perlis antara inisiatif untuk membantu rakyat, selain Jualan Rahmah MADANI oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jualan Agro MADANI agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Program Jualan Sejahtera melibatkan jualan murah ayam segar dilihat dapat membantu meringankan beban ekonomi yang ditanggung oleh masyarakat setempat bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Sena, Marzita Mansor, program Jualan Sejahtera menjelajah ke segenap kawasan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan penduduk setempat mendapatkan bekalan ayam pada harga murah.

"Selain menjimatkan perbelanjaan harian, usaha sebegini juga membolehkan penduduk mendapatkan barangan segar yang berkualiti secara terus daripada pengusaha. Usaha sebegini akan terus disokong dengan mengadakan jualan secara berkala untuk menbantu penduduk sekitar,"katanya.

Beliau memaklumkannya pada Program Jualan Sejahtera peringkat DUN Sena di perkarangan Pusat Khidmat DUN Sena.

Program dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Indera Kayangan dan pembekal ayam tempatan Nas Madi Venture Sdn Bhd.

 

 

 

ROSLINA BINTI DIN