fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah Siswa 2023 diperkenal, ringankan beban pelajar beli barang keperluan

JITRA, 19 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan Jualan Rahmah Siswa 2023 bagi membantu para pelajar mendapat barangan keperluan pada harga yang berpatutan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata terdapat permintaan untuk dilaksanakan Jualan Rahmah Siswa tersebut kerana ramai dalam kalangan pelajar adalah dari keluarga B40.

Beliau berkata, selain barangan keperluan, Jualan Rahmah Siswa turut menyediakan barangan keperluan kebersihan diri, barangan keperluan wanita dan alat tulis dengan harga potongan hampir 30 peratus.

"Tapi yang ini memang daripada KPDN, kita panjangkan Jualan Rahmah ini kepada siswa, sebab kita tengok apabila kita buat program Jualan Rahmah, kita lihat bahawa permintaan daripada pelajar itu ada, dan setiap kali saya pergi ke program-program melibatkan siswa, mereka meminta untuk diadakan Jualan Rahmah untuk siswa", katanya kepada media selepas Program Jualan Rahmah Siswa dan Advokasi Pengguna Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Institut Kemahiran Belia Negara IKBN di Jitra, Kedah.

Turut sama, Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth.

Dalam tempoh tiga bulan ini, KPDN  menyasarkan 10,000 pelajar di IPT Kedah  menggunakan kemudahan Jualan Rahmah Siswa berkenaan.

Sementara itu, harga ayam terus kekal stabil selepas subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sejak 1 November lalu.

Beliau berkata hasil pemantauan di empat kategori premis iaitu pasar basah, kedai runcit, pasar mini dan pasar raya besar mendapati harga ayam dijual pada paras bawah RM9.40 sen sekilogram.

"Pemantauan kita masih lakukan setiap hari, kita dapati di seluruh negara harga ayam masih kekal rendah, melainkan ada aduan di utara Sarawak iaitu di Limbang dan Lawas, di situ kita pun sudah membuat siasatan sama ada berlaku pencatutan, tapi rata-rata kita dapati bahawa harganya stabil dan harga kekal rendah", katanya.

ROSLINA BINTI DIN