KOTA KINABALU, 30 Mac- Program Jualan Rahmah (PJR) dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menangani kos sara hidup dengan menawarkan harga barangan keperluan asas pada harga rendah.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata program berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan bawah KPDN untuk membantu rakyat dengan tawaran potongan harga hingga 30 peratus.
"Sebagaimana yang kita maklum, PJR ini merupakan salah satu program kerajaan bawah KPDN untuk kita membantu rakyat sebagai program intervensi. Program ini menawarkan harga barangan keperluan asas pada harga rendah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout Program Jualan Rahmah sempena Bazar Syawal di sini.
Sementara itu pengunjung yang ditemui RTM menyifatkan PJR dapat meringankan perbelanjaan harian keluarga.
Mustani Lasumi berpendapat program berkenaan tidak hanya membantu pengunjung, malah ia turut meringankan perbelanjaan sempena Syawal.
"Kami tahu pprogram jualan ini menerusi mdia sosial, jadi kami tidak melepaskan peluang untuk berkunjung dan mendapatkan barangan keperluan.
"Harga yang ditawarkan juga pada kadar rendah, jadi ia dapat meringankan perbelanjaan kami khususnya untuk persiapan Aidilfitri ini," katanya.
Rasika Muharam berpandangan program seperti ini merupakan inisiatif yang baik daripada kerajaan khusus kepada rakyat.
"Ini merupakan kali pertama saya hadir ke program ini. Harga yang ditawarkan juga lebih murah daripada pasaran biasa.
"Memang sangat berbaloi dengan kualiti produk yang dijual. Ia sangat meringankan perbelanjaan dan memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.
Tinjauan RTM di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur
Sementara itu di Kuala Lumpur ramai pengunjung ke pasar untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas untuk persediaan memasak menjelang Aidilfitri.
Tinjauan RTM di Pasar Chow Kit di ibu negara mendapati sambutan tahun ini lebih rancak berbanding sebelumnya.
Ia berikutan peningkatan jumlah pelanggan yang datang untuk mendapatkan bahan mentah seperti daging, ayam dan santan.
Pada masa sama, kerajaan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi memastikan harga kekal stabil dan tidak membebankan pengguna.
Peniaga Fadzil Wahab yang ditemui berkata, ramai pengunjung datang dan membeli untuk persediaan Aidilfitri.
"Harga yang dijual memang terkawal seperti yang telah dimaklumkan. Jadi tiada isu berkenaan kenaikan harga dalam kalangan peniaga di sini," katanya.
Manakala pembeli yang ditemui Rico Sudirman berkata, harga jualan masih pada harga terkawal.
"Alhamdulillah, semua harag barangan jualan masih pada harga terkawal. Santan kelapa ini saya beli pada harga RM9.00, selalu RM12.00," katanya.
Menurut Nabil Adib pula, harga barangan basah masih pada kadar berpatutan dan banyak pilihan.
"Kenaikan itu mungkin ada, tetapi tidak banyak beza, mungkin kenaikan harga barangan ini sudah dikawal kerajaan.
"Jadi harga jualan masih boleh diterima dan sesuai untuk pembeli macam saya," katanya.
Di Pulau Pinang menerusi tinjauan yang dilakukan, ramai pengunjung membeli barangan keperluan untuk memasak menjelang Aidilfitri.
Tinjauan di beberapa pasar basah sekitar George Town mendapati, ramai pengunjung masih mendapatkan barangan keperluan seperti ayam, daging, sayur dan santan.
Peniaga Abdul Jabbar Abdullah berkata, ramai pengunjung datang ke pasar untuk mendapatkan barangan basah dan kelengkapan lain.
"Orang ramai membeli bawang, ubi kentang termasuk daging dan ayam. Yang itu memang kerap dibeli.
"Hari ini memang ramai pengunjung yang datang untuk mendapatkan barangan keperluan, sampai barang kita pun tidak cukup," katanya.
Bagi pengunjung pasar Fadilah Salleh, barangan basah persiapan sempena Aidilfitri memang dibeli di pasar.
"Untuk persiapan memasak, memang saya akan ke pasar untuk mendapatkan pelbagai pilihan. Di sini banyak pilihan dan boleh mendapatkan semua kelengkapan memasak dengan mudah.
"Kita pun selalu menyediakan rendang apabila tiba musim perayaan, jadi pasar memang menjadi tumpuan untuk mendapatkan barangan keperluan.
"Tambahan pula ini merupakan fasa akhir menjelang Syawal, jadi lagi ramai pengunjung yang datang untuk mendapatkan barangan keperluan. Di sini lengkap serai, lengkuas, kunyit dan barangan asas lain. Semuanya ada," katanya.