fb fb fb fb fb

Jualan Rahmah: Barangan bergula tidak lagi diberi diskaun bermula 1 Oktober

Fuziah pada Majlis Pelancaran Kempen Perangi Gula 'Jom Kosong' di ibu negara. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 September - Bermula 1 Oktober ini, semua produk makanan dan minuman yang mengandungi gula akan dikeluarkan daripada senarai barangan yang diberikan potongan harga dalam Program Jualan Rahmah MADANI.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata langkah itu dilakukan untuk menyahut Kempen Perangi Gula yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan masyarakat.

"Kita akan menarik barangan-barang yang mengandungi gula daripada senarai jualan Rahmah tiada lagi diskaun.

"Jika sebelum ini Jualan Rahmah menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus, selepas ini barang-barang seperti susu pekat manis tidak lagi ditawarkan diskaun,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan inisiatif "Jom Kosong" di ibu negara.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga telah meminta KKM meletakkan gred makanan mengikut tahap kandungan gula.

Ia akan menjadi sebahagian daripada advokasi untuk pengguna supaya mereka lebih peka terhadap jumlah pengambilan gula selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu rakyat mengurangkan pengambilan bahan itu supaya lebih sihat. BERNAMA

Trainee2