Jualan MADANI selari prinsip ihsan, ringankan beban kos sara hidup

Pelaksanaan Jualan MADANI tiga kali sebulan mampu memanfaatkan rakyat dan menjana ekonomi negara/RTM

KUALA LUMPUR, 11 Januari — Pelaksanaan Jualan MADANI sebanyak tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar Kuala Lumpur mendapat perhatian positif daripada ramai pihak, yang menilai inisiatif itu sebagai usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan MADANI tiga kali sebulan meringankan beban kos sara hidup dan mengurangkan kebergantungan kepada hutang jangka pendek.
  • Program selari prinsip ehsan MADANI dan menyokong pendapatan golongan B40 dan M40 di kawasan bandar.
  • Perniagaan kecil dan sederhana boleh mendapat manfaat jika dilibatkan, tetapi harga terlalu rendah boleh menjejaskan margin peniaga.
  • Pelaksanaan konsisten berpotensi memberi impak jangka panjang dalam mengawal harga keperluan dan menyokong ekonomi setempat.

Menurut Dr. Nurul Syifaa Mohd Shakil, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,UiTM Jualan MADANI selari dengan prinsip ihsan di bawah kerangka MADANI.

“Dari segi dasar, Jualan MADANI ini selari dengan prinsip ehsan di bawah kerangka MADANI dan membantu menyokong pendapatan golongan B40 dan M40 di kawasan bandar. Kekerapan tiga kali sebulan menunjukkan komitmen berterusan kerajaan, bukan intervensi bermusim. Dari sudut ekonomi rakyat, ia mengurangkan tekanan pendapatan boleh guna serta kebergantungan kepada hutang jangka pendek.” katanya.

Jelasnya, program itu turut berpotensi memberi impak positif kepada peniaga kecil dan sederhana jika mereka dilibatkan secara langsung, namun tetap memberi amaran bahawa harga jualan terlalu rendah boleh menjejaskan margin peniaga.

Penganalisis Politik dan Media Sosial, Prof. Madya Dr Sara Chinnasamy pula menyifatkan program itu sebagai antara inisiatif kerajaan yang paling memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Saya percaya Jualan MADANI ini memberi manfaat besar kepada rakyat dan membantu mengurangkan beban kos sara hidup. Setakat ini, lebih lima juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat. Kekerapan penganjuran tiga kali sebulan jelas menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI yang prihatin dan memberi perhatian serius terhadap kebajikan rakyat.” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Chong Siew Huay, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM berkata, Jualan MADANI mampu membawa kesan positif yang berpanjangan jika diteruskan dengan konsisten.

“Dalam jangka panjang, Jualan MADANI dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat dengan memastikan harga barangan keperluan lebih terkawal. Pada masa sama, ia menggalakkan rakyat di bandar berbelanja dengan lebih terancang tanpa terlalu terkesan dengan harga, tanpa mengira latar belakang kaum.”

Secara keseluruhannya, pelaksanaan Jualan MADANI bukan sahaja memberikan kelegaan kepada pengguna, malah berpotensi menyokong ekonomi peniaga tempatan.

Meskipun bersifat intervensi bersubsidi, rakyat berharap ia dapat diperluas bagi memastikan manfaat yang lebih menyeluruh serta berkekalan selari aspirasi MADANI.