fb fb fb fb fb

Jualan Agro Madani dianggap berjaya, tarik 2.9 juta pengunjung sepanjang tahun 2023

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup

AMPANG, 6 Januari- Sebanyak 5,608 sesi jualan Agro Madani berjaya dianjurkan di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga 31 Disember tahun lalu.

Jumlah itu melepasi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu sebanyak 5,000 lokasi; dengan mencatat kehadiran 2.9 juta pengunjung.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif ini turut mencatat penglibatan seramai 74,801 orang usahawan, dengan nilai jualan mencecah RM93.7 juta.

Secara keseluruhan, ia juga memberi impak penjimatan harga barangan sebanyak RM27.8 juta kepada lebih 11.6 juta isi rumah di seluruh negara.

"Kita membawa produk-produk agro makanan secara terus daripada pengeluar kepada rakyat. Jadi, program ini bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan juga merupakan satu usaha yang boleh bawa hasil 'menang-menang'.

"Dia merupakan satu kemenangan untuk usahawan sebab kita bantu untuk memasarkan produk mereka terus kepada pengguna dan pada masa yang sama ia juga merupakan satu kebaikan kepada pengguna sebab kita dapat membekalkan, membawa produk agro makanan yang segar dengan harga yang lebih berpatutan di antara 10% hingga ke 30% lebih murah daripada kebanyakan tempat,"katanya.

Datuk Arthur ditemui pemberita selepas merasmikan program Jualan Agro Madani Mega 2024 di Ampang, Selangor.

Beliau turut menjelaskan; program Jualan Agro Madani akan dilaksana secara berterusan sepanjang tahun ini, susulan kejayaannya pada tahun lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE