fb fb fb fb fb

JPN Melaka keluar garis panduan baharu berhubung majlis graduasi sekolah

Exco Pendidikan , Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman

ALOR GAJAH, 30 Januari-Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan mengeluarkan satu garis panduan baharu
mengenai majlis graduasi atau majlis apresiasi yang dianjurkan di peringkat sekolah.

Exco Pendidikan , Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, garis panduan itu termasuk lokasi penganjuran yang mungkin tidak membebankan ibu bapa.

Beliau berkata keputusan itu dibuat supaya setiap majlis keraian diadakan di hotel tidak menimbulkan rasa kurang senang segelintir ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan.

"Pihak sekolah akan mengadakan majlis apresiasi, majlis graduasi dan saya melihat perkara itu jadi satu trend cuma pada pandangan saya dan jabatan boleh diadakan graduasi tapi bukan secara besar- besaran dan kalau boleh saya tidak galakkan di hotel- hotel, kalau nak buat sahaja di sekolah dengan skala sederhana dengan belanja yang minimum dan tidak membebankan itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni seramai 211 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rahmad berkata, seramai 12,900 calon SPM 2023 di Melaka menduduki peperiksaan bertulis di 74 sekolah serta 103 pusat peperiksaan, bermula hari ini.

Katanya , daripada jumlah berkenaan, seramai 11,128 calon adalah dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 667 lagi adalah dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Selain itu, terdapat 21 calon dari sekolah agama negeri, 242 calon sekolah swasta dan 842 calon persendirian serta empat calon lain yang mempunyai masalah kesihatan terpaksa menjalani peperiksaan di hospital.

Ujarnya lagi, seramai 65 calon berkeperluan khas iaitu empat kurang daya penglihatan (rabun), sembilan kurang pendengaran (pekak, bisu) dan 52 lagi calon autisme dan kecacatan turut mengambil pemeriksaan itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI