fb fb fb fb fb

JPN Kelantan galak sekolah YIK pakai lencana Jalur Gemilang

FOTO RTM

KOTA BHARU, 21 April- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menggalakkan sekolah-sekolah bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut melaksanakan pemakaian Lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajarnya, sejajar dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memupuk semangat patriotisme.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah JPN Kelantan, Mat Lazim Mohammad, berkata walaupun YIK berada bawah pengurusan selain KPM, mereka disaran merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) berkaitan pelaksanaan tersebut.

“Tiga institusi utama di bawah KPM yang diwajibkan memakai Lencana Jalur Gemilang ialah Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan, serta Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Bagi institusi lain termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), kita amat menggalakkan mereka turut serta mematuhi garis panduan seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid bawah institusi pendidikan KPM peringkat negeri Kelantan, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim di SK Padang Garong 1, hari ini.

Menurut Mat Lazim, seramai 313,570 pelajar dan murid di seluruh Kelantan terlibat dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Beliau turut menyambut baik usaha kementerian tersebut yang dianggap sebagai langkah awal untuk membina jati diri dan semangat cinta negara dalam kalangan pelajar sejak usia muda.

“Lencana ini bukan sekadar simbol. Ia perlu dipakai dengan kemas, bersih dan dalam keadaan baik. Lencana yang sudah pudar atau rosak harus diganti supaya mesej patriotisme yang dibawa kekal utuh dan dihormati,” katanya lagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE