KANGAR, 13 April - Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Perlis terus memainkan peranan aktif dalam membantu komuniti setempat serta menjadi medium penghubung antara kerajaan dan penduduk.
Menerusi JPKKP, pelbagai isu setempat berkaitan keselamatan, kebajikan dan pembangunan ekonomi serta pelaksanaan program secara bersama menjadi keutamaan semua.
Menurut Pengerusi JPKKP Kampung Abi yang juga Pengerusi Komuniti MADANI Banjaran Nakawan Amy Rodzi, sejak Januari 2024 hingga kini lebih 30 program bersama komuniti setempat telah dilaksanakan bagi memperteguhkan semangat permuafakatan dan mengukuhkan perpaduan antara komuniti setempat selain meningkatkan ekonomi setempat.
Ini termasuk bawah Inisiatif SejaTi MADANI dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan Produk Sejuk Beku dan Makanan Kering serta kafe bersama komuniti usahawan Kampung Abi, pertandingan wau terbuka Kampung Abi, program ziarah kasih, program khas sempena Aidilfitri dan Aidiladha serta pelbagai program lain.
"Alhamdulillah sepanjang kita mengadakan program di kampung Abi, sambutan daripada penduduk setempat dan juga komuniti di DUN Bintong juga amat-amat merangsangkan dan boleh dikatakan dapat sokongan sepenuhnya daripada masyarakat setempat," kata Amy.
Beliau bercakap pada Program Sambutan Aidilfitri Komuniti Madani Banjaran Nakawan di Kampung Abi yang dihadiri lebih 500 penduduk setempat dengan pelbagai menu hidangan disajikan serta pemberian duit raya dan pertunjukkan bunga api.
Dengan sokongan padu ahli jawatankuasa serta kepimpinan setempat serta agensi berkaitan membolehkan setiap permasalahan dapat diselesaikan dan pelaksanaan pelbagai program juga menjadi pemangkin mendekatkan masyarakat setempat sebagai satu keluarga besar di peringkat kampung.