JPJ,MOT teliti tindakan lebih tegas terhadap pemandu mabuk, positif dadah

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli/BERNAMA

PUTRAJAYA, 3 April — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini sedang meneliti semula peruntukan di bawah Seksyen 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ meneliti semula peruntukan Seksyen 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
  • Tindakan tertumpu kepada pemandu positif dadah atau mabuk yang menyebabkan kemalangan dan kehilangan nyawa, mengikut arahan MOT.
  • Ketua Pengarah arah pasukan perundangan dan bahagian penguat kuasa meneliti untuk mengenakan tindakan lebih keras bagi keadilan keluarga mangsa.

Langkah itu khususnya menyasarkan pemandu yang didapati positif dadah atau mabuk sehingga mengakibatkan kemalangan dan kehilangan nyawa, selaras dengan arahan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT).

Menurut Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli, menegaskan bahawa pindaan atau penelitian semula itu perlu bagi memberi keadilan kepada keluarga mangsa yang terkesan akibat kecuaian pemandu yang tidak bertanggungjawab.

“Saya telah arahkan pasukan perundangan saya dan juga bahagian penguat kuasa untuk meneliti semula Seksyen 44 dan 45 tersebut bersama dengan MOT untuk kita kenakan tindakan yang lebih keras ke atas pelaku kesalahan-kesalahan mabuk dan juga dadah ini”, katanya demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Setia Jabatan Pengangkutan Jalan di sini, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan sedia ada sebelum ini telah dipinda dengan hukuman lebih berat, termasuk penjara sehingga 15 tahun serta denda maksimum RM500,000.

Namun, peningkatan kes kebelakangan ini menunjukkan perlunya undang-undang berkenaan dinilai semula agar tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap pesalah.

Dalam pada itu, JPJ turut merangka usaha lebih agresif dari segi advokasi dan kesedaran awam mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah, di samping memperkukuh penguatkuasaan.