KUBANG PASU, 15 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita enam buah motosikal milik warga asing selepas dikesan menjalankan perkhidmatan membawa pelancong ke sempadan Malaysia-Thailand secara haram.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam dalam satu kenyataan memaklumkan Op Motosikal yang dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menahan kesemua warga asing untuk siasatan lanjut.
"Sebanyak 136 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Antara kesalahan yang dilakukan termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan ubah suai kenderaan," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun JPJ komited mempergiat penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengekang aktiviti yang melanggar undang-undang di kawasan sempadan negara.