fb fb fb fb fb

JPJ Pulau Pinang keluar 234 saman

FOTO HIASAN

BUKIT MERTAJAM, 29 Januari - Sebanyak 234 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam dua operasi di sekitar Seberang Jaya dan Jalan Usahaniaga, di sini semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, menerusi operasi pertama, pihaknya menjalankan penguatkuasaan pelbagai kesalahan terhadap Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) selama tiga jam.

"Sebanyak 135 saman dikeluarkan kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu kenderaan barangan (GDL), membawa lebih muatan, bawa kayu penyendal secara tidak selamat, penggunaan telefon bimbit semasa memandu dan ubah suai kenderaan tanpa kebenaran.

Manakala dalam operasi kedua JPJ Pulau Pinang telah membuat penguatkuasaan operasi pelbagai kesalahan dan sebanyak 96 saman dikeluarkan dalam operasi bermula 9 pagi hingga 12.00 tengah hari itu," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, JPJ Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menahan seorang pemandu kerana melanggan penumpang dan menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa Lesen Pengendali di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 9.00 malam Sabtu.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan juga mendapti lelaki tempatan berusia 40-an yang memandu Toyota Innova tidak mempunyai lesen memandu telah mengambil penumpang dari LTAPP ke lokasi yang diminta oleh pengguna dengan mengenakan bayaran tertentu tidak mengikut kadar tambang sebenar teksi atau kadar mengikut tambang e-hailing.

"Pemandu itu diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) dan Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF