
PUTRAJAYA, 12 Mac -Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan atau Road Ban selama empat hari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
- JPJ akan menguatkuasakan larangan kenderaan berat pada 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena sambutan Aidilfitri.
- Tindakan diambil berikutan peningkatan ketara trafik persendirian dan risiko kemalangan akibat kecuaian serta kegagalan merancang perjalanan.
- Loke menggesa orang ramai guna pengangkutan awam dan pemandu pulang kampung mematuhi peraturan jalan raya serta utamakan keselamatan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan pada 19 dan 20 Mac sebelum Aidilfitri serta 28 dan 29 Mac selepas perayaan tersebut.
Menurut beliau, langkah berkenaan diambil berikutan peningkatan ketara trafik kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan.
“Menjelang Aidilfitri sering berlaku peningkatan kemalangan jalan raya akibat kecuaian serta kegagalan merancang perjalanan dengan baik.
“Sehubungan itu, JPJ akan mempertingkat pemantauan terhadap sektor pengangkutan darat bagi memastikan tahap keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa terpelihara.” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Paduan Kasih MADANI dan Ihya Ramadan Kementerian Pengangkutan Malaysia, di sini.
Loke turut menggesa orang ramai menggunakan pengangkutan awam, manakala pemandu kenderaan persendirian yang pulang ke kampung halaman supaya mematuhi peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan ketika memandu.