KUALA LUMPUR, 21 Februari – Sebanyak 6,411 notis saman telah dikeluarkan ke atas kenderaan perdagangan, manakala 21 kenderaan barangan dan perkhidmatan awam disita menerusi Operasi Khas Gempur Teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Siri 1/2025 sejak 15 Februari lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata operasi bersepadu selama 14 hari itu turut melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi meningkatkan keselamatan jalan raya serta mengekang kesalahan teknikal yang boleh mengundang risiko kemalangan.
“Fokus utama operasi ini tertumpu kepada lima aspek utama iaitu lebihan muatan, kesalahan teknikal, kegagalan pematuhan dokumentasi, kesalahan lalu lintas serta kesalahan spesifikasi pembinaan dan penggunaan kenderaan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi tersebut di Stesen Penguatkuasa Gombak, di sini.
Sepanjang operasi, lima kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan, termasuk kenderaan yang dipandu warga asing tanpa lesen.
Sebanyak 119 kesalahan telah direkodkan, dengan kesalahan lebihan muatan mencatat jumlah tertinggi iaitu 56 kes, diikuti 12 kes tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), 10 kes tiada lesen vokasional, enam kesalahan teknikal dan selebihnya lain-lain kesalahan.