JPJ Kedah tingkat penguatkuasaan di 91 kawasan kerap kemalangan

Foto RTM

ALOR SETAR, 13 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di 91 kawasan yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini bersempena Tahun Baharu Cina.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Kedah tingkat rondaan dan penguatkuasaan di 91 kawasan kerap kemalangan sempena Tahun Baharu Cina.
  • Fokus kepada sembilan kesalahan utama termasuk memandu laju, lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan guna telefon bimbit.
  • Kempen MKJR guna tinjauan mesra, edaran risalah dan pesanan terus kepada pemandu serta penumpang supaya patuh undang-undang.

Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata tiga daerah dikenalpasti merekodkan banyak kawasan yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini iaitu Kuala Muda, Kota Setar dan Kulim.

Daerah berkenaan mencatatkan jumlah nahas tertinggi dari 2023 hingga 2025.

“Berdasarkan statistik, pada 2023, Kuala Muda mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi, iaitu 7,132 kes diikuti Kota Setar (5,378 kes) dan Kulim (4,043), manakala pada 2024, Kuala Muda masih mencatatkan jumlah kemalangan paling banyak dengan (7,811 kes), diikuti Kota Setar (6,165 kes) dan Kulim (5,392 kes).

“Pada 2025, jumlah kemalangan di Kuala Muda meningkat kepada 8,152 kes, diikuti Kulim (5,745 kes) dan Kota Setar (5,667 kes),” katanya kepada pemberita ketika hadir Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah, yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Dzowahir Ab Ghani.

Menurut Van Lutam, sepanjang operasi pihaknya akan menumpukan kepada sembilan kesalahan utama yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya, iaitu memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.

“Kesalahan lain, termasuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, lebih muatan dan kenderaan berat di lorong laju. JPJ juga akan membuat rondaan dan penyamaran terhadap kenderaan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berharap pengusaha pengangkutan awam dapat mematuhi semua undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

Penumpang juga diingatkan untuk memakai tali pinggang yang disediakan kerana jika gagal, saman boleh dikeluarkan terhadap mereka.

Kempen anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Kedah itu dilaksanakan menggunakan pendekatan tinjauan mesra dengan menyantuni para pengunjung pasar pagi serta peniaga-peniaga setempat.

Pendekatan ini bertujuan mendekati masyarakat secara langsung bagi menyampaikan mesej keselamatan jalan raya, selain mengedarkan risalah keselamatan dan bahan advokasi kepada orang ramai.