fb fb fb fb fb

JPJ henti permohonan pertukaran lesen memandu asing berkuat kuasa 19 Mei

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghentikan semua permohonan pertukaran lesen memandu negara asing kepada Lesen Memandu Malaysia (LMM), berkuat kuasa 19 Mei ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata dalam kenyataan berkata, ia sebagai langkah bagi memperketatkan pematuhan dan piawaian keselamatan jalan raya melibatkan warga asing.

Beliau berkata, JPJ pada masa ini membenarkan permohonan pertukaran lesen memandu negara asing kepada LMM melibatkan kategori-kategori pemohon tertentu.

"Mana-mana rakyat negara asing yang memerlukan Lesen Memandu Malaysia dikehendaki menjalani tatacara mendapatkan lesen tersebut seperti prosedur sedia ada, seperti mana yang dilalui semua rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, kategori pemohon seperti individu di bawah kor diplomatik, peserta Malaysia My Second Home dan warganegara Malaysia yang memperolehi lesen memandu negara asing sebelum memegang LMM, tidak terjejas dengan perubahan itu," katanya.

Menurut beliau, warga asing yang berada di Malaysia untuk tempoh masa sementara iaitu kurang daripada 12 bulan, adalah tertakluk kepada perkara-perkara yang ditetapkan.

"Bagi Negara Pejanji kepada Convention on Road Traffic 1949, Geneva (Konvensyen 1949) dan Convention on Road Traffic 1968, Vienna (Konvensyen 1968), individu daripada negara berkenaan dibenarkan untuk memandu dengan menggunakan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) yang dikeluarkan pihak berkuasa Negara Pejanji berkenaan," katanya lagi.

Bagi warganegara dari negara ASEAN, individu berkenaan hanya perlu menggunakan lesen memandu negara asal, selaras dengan ketetapan bawah Perjanjian Mengiktiraf Lesen Memandu Domestik Dikeluarkan oleh Negara ASEAN 1985.

Datuk Aedy Fadly berkata, penambahbaikan itu adalah salah satu usaha dan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan.

TETITIA YUSOFF