fb fb fb fb fb

JPJ buka bidaan nombor pendaftaran istimewa 'GOLD'

Sidang Media Penawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Sempena Hari Wilayah Persekutuan Ke-50

PUTRAJAYA, 30 Januari- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri 'GOLD' sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata bidaan itu dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sehingga pukul 10.00 malam, 5 Februari ini.

"NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks yang mempunyai prefix (hadapan) iaitu siri GOLD yang melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50", katanya dalam Sidang Media Penawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Sempena Hari Wilayah Persekutuan Ke-50.

Selain itu juga, penawaran NPI siri 'GOLD' ini adalah merupakan usaha Kementerian Pengangkutan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dengan melaksanakan inisiatif-inisiatif di bawah kementerian seperti bantuan lesen memandu, bantuan topi keledar dan subsidi FlySISWA.

Dalam pada itu, Anthony Loke turut memaklumkan, akan memperincikan pelaksanaan ujian memandu secara automasi, menggunakan sistem e-Testing selepas Tahun Baharu Cina.

Jelasnya, pelaksanaan itu bagi mengatasi isu lambakan calon (backlog) ujian memandu di institut memandu seluruh negara ketika ini.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan menyasarkan 40,000 pemandu teksi di seluruh negara diberi perlindungan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif itu bagi memastikan pemandu teksi yang majoritinya golongan warga emas dan veteran tentera mendapat perlindungan.

"Sebab pemandu teksi, pertamanya mereka pemandu tetap dan kita sudah ada angkanya dan kita tahu berapa implikasi kewangan yang diperlukan. Jadi bajet kita akan kita bantu pemandu teksi yang kita tahu.

"Ramai pemandu teksi ini warga emas dan berumur dan antara mereka ramai juga veteran tentera. Jadi kita harapkankan inisiatif ini jadi jaringan keselamatan kepada pemandu teksi, kerana kebanyakan mereka tidak ada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan PERKESO", katanya dalam sidang media di sini.

ROSLINA BINTI DIN