fb fb fb fb fb

JOM Kids Band diiktiraf Asia Book of Records

Jays Odyssey Music (JOM) Kids Band diiktiraf secara rasmi oleh Asia Book of Records sebagai pasukan termuda yang berjaya membentuk sebuah kumpulan muzik / Foto Bernama

TASEK GELUGOR, 25 Ogos - Jays Odyssey Music (JOM) Kids Band diiktiraf secara rasmi oleh 'Asia Book of Records' (ABR) sebagai pasukan termuda yang berjaya membentuk sebuah kumpulan muzik.

Pasukan itu terdiri daripada 13 pemuzik berketurunan India, berumur antara 11 dan 17 tahun dari seluruh negara.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata JOM Band merupakan salah satu daripada sebilangan kecil penyertaan yang terpilih daripada hampir 40,000 penyertaan dari seluruh Asia untuk menerima pengiktirafan tersebut.

"Pengasas kumpulan ini telah mencari bakat terpendam dalam kalangan kanak-kanak India dan melatih mereka dengan yuran yang minimum, bahkan ada yang diberikan latihan secara percuma. Hari ini, hasil usaha itu dapat dilihat melalui persembahan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Jurugaya Rambut India Zon Utara, di sini.

Terdahulu, JOM Band membuat persembahan selama 45 minit tanpa henti pada majlis tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN