fb fb fb fb fb

Jom Balik Raya: MAIWP taja tiket, wang saku untuk 10,000 pelajar

FOTO Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Prihatin terhadap nasib pelajar yang kurang berkemampuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menaja 10,000 pelajar yang kurang berkemampuan pulang ke kampung halaman melalui program 'Jom Balik Raya' pada tahun ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata tajaan ini merangkumi bantuan tiket bas dan kapal terbang termasuk wang saku sebanyak RM100 sepanjang perjalanan pulang ke kampung.

Tajaan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1.7 juta.

"Alhamdulillah, kita memberi bantuan kepada pelajar untuk balik kampung, seramai 10,000 pelajar yang terdiri daripada lapan buah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Pembelian tiket bas dan juga tambang kapal terbang bagi mereka yang dari Sabah dan Sarawak,

"Ini merupakan aktiviti yang telah berlaku telah berjalan oleh MAIWP dan ini merupakan kali yang ke-5 program ini dijalankan.

"Kita harap pembayar zakat terus membayar zakat. Dengan adanya banyak zakat, insha-Allah kita boleh salurkan kepada mereka yang memerlukan", katanya kepada media di sini.

Tambahnya, usaha ini bertujuan bagi meringankan beban kesemua pelajar untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung halaman. 

Dalam pada majlis yang sama, MAIWP turut menyampaikan 'Gerobok Rezeki Universiti' kepada 10 buah universiti tempatan dengan melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Menurutnya, Gerobok Rezeki ini bukan sahaja menyediakan barangan kering, malah peralatan kebersihan diri turut disediakan agar tiada pelajar perlu mengikat perut atau terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.

ROSLINA BINTI DIN