
KOTA TINGGI, 6 Februari – Kerajaan Johor mengesahkan tiada sebarang arahan penutupan sekolah susulan penularan penyakit Tuberkulosis atau Tibi yang melibatkan murid di daerah ini.
- Kerajaan Johor mengesahkan tiada arahan penutupan sekolah susulan kes tibi di daerah terbabit.
- Enam murid disahkan dijangkiti, semua diarahkan kuarantin dan menerima rawatan mengikut prosedur KKM.
- Pejabat Kesihatan mengadakan penerangan dan semua sekolah diminta patuhi garis panduan kebersihan dan pemantauan KKM.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin menegaskan situasi ketika ini adalah terkawal dan dalam pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelas beliau, setakat ini, enam orang murid disahkan dijangkiti Tibi hasil saringan kontak rapat melibatkan empat murid lelaki dan dua murid perempuan.
“Kesemua murid terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan.
“Pejabat Kesihatan daerah turut turun ke sekolah-sekolah terlibat bagi mengadakan sesi penerangan bersama pihak pengurusan sekolah, guru serta ibu bapa berhubung langkah pencegahan dan kawalan penularan penyakit”, katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, semua sekolah perlu mematuhi garis panduan KKM termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.
Tambah beliau, Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus memantau keadaan secara berterusan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid dan warga sekolah terpelihara.
Terdahulu, pada Khamis, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, satu kluster tibi direkodkan di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat bermula 25 Januari lalu hingga semalam (Khamis).