fb fb fb fb fb

Johor lulus lantik 384 ahli majlis PBT

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor

KULAI, 20 April - Kerajaan Negeri Johor telah meluluskan lantikan 384 ahli majlis di 16 pihak berkuasa tempatan ( PBT) di negeri itu, selama dua tahun berkuatkuasa 1 April lalu.

Pelantikan ahli majlis tersebut sebagai medium penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat dalam menyelesaikan pelbagai masalah di peringkat akar umbi, selain mempertimbang dan meluluskan undang-undang kecil dan dasar di peringkat PBT.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata hampir 40 peratus muka baharu dilantik sebagai ahli majlis PBT kali ini diyakini mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang dan berkesan.

"Hampir 40 peratus muka baharu dan kebanyakan muka baharu ini terdiri daripada golongan muda bawah 40 tahun. Ahli-ahli yang dilantik mewakili rakyat ini hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan penuh ihklas dan selesaikanlah seberapa banyak isu yang melibatkan isu-isu rakyat," kata Mohd Jafni kepada pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka di Bandar Putra, di sini.

Pelantikan ahli majlis itu selaras dengan Seksyen 10(1) dan Seksyen 10(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976(Akta 171) yang memperuntukan pihak berkuasa negeri (PBN) untuk melantik ahli-ahli majlis bagi tempoh tidak melebihi tiga tahun.

Dalam pada itu Mohd Jafni berkata, aspek birokrasi akan digunakan di negeri itu bagi memudahkan pelaburan demi kemampanan pertumbuhan eknomi seiring usaha menjadi negeri termaju menjelang 2030.

Katanya, pendekatan itu juga selaras saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu setiap kerajaan negeri mengurangkan karenah birokrasi bagi menarik pelaburan ke negara ini.

"Kita secara agresif melihat perkara ini antara yang penting jadi pelabur yang datang ke Johor ini tidak perlu risau dia boleh buat kerjasama dengan PBT yang ada dan kita akan cuba bantu sebaik mungkin. Kawasan Johor sendiri yang terhampir dengan antara negara termaju seperti Singapura. Jadi sudah tentulah banyak pelabur-pelabur yang akan masuk ke Singapura," katanya.

Pelaksanaan dua zon ekonomi khas dan zon khas kewangan 'forest city' di negeri itu dijangka akan melonjakkan ekonomi Johor menjadi negeri termaju dan mencatat pertumbuhan pesat dalam tempoh dua tahun akan datang.

TETITIA YUSOFF