KUALA LUMPUR, 26 Januari- Johor menjadi negeri terbaharu yang kembali dilanda banjir menyertai tiga negeri lain iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang, sekali gus merekodkan penambahan penduduk terjejas.
Menurut Portal Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Johor mencatatkan 192 orang daripada 42 keluarga di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kota Tinggi, setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.
Bagaimanapun, angka tertinggi adalah Terengganu iaitu 1,635 orang daripada 458 keluarga di 27 PPS.
Ia melibatkan daerah Besut dengan 584 orang di 11 PPS, diikuti Dungun (576) di lima PPS, Hulu Terengganu (293) di lima PPS dan Setiu (182) di enam PPS.
Kelantan pula merekodkan 836 orang daripada 257 keluarga di 15 PPS.
Daerah Pasir Puteh menunjukkan 350 orang di dua PPS, manakala Tanah Merah (242) di tujuh PPS, Kuala Krai (226) di lima PPS dan Machang (18) di sebuah PPS.
Sementara Pahang melibatkan pembukaan satu PPS di Kuantan yang menempatkan 465 penduduk daripada 201 keluarga.
Data NADMA itu turut menunjukkan satu kematian akibat bencana banjir di Kuantan pada Rabu lalu.