fb fb fb fb fb

Johor keluar garis panduan komprehensif penganjuran akviti sukan sekolah, demi kesihatan pelajar

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz meninjau keadaan kolam terjun di Pusat Akuatik MBJB, Ahad lalu

JOHOR BAHRU, 1 Ogos- Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) menggariskan panduan komprehensif bagi sebarang penganjuran aktiviti sukan sekolah di negeri itu,  untuk menjaga kesihatan dan kebajikan pelajar.

Exco Pendidikan dan Penerangan, Aznan Tamin berkata, menerusi prosedur itu, semua pihak perlu mematuhi langkah-langkah digariskan sepanjang aktiviti berjalan, untuk mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini.

Antara langkah terlibat, adalah guru pembimbing perlu membuat saringan kesihatan dan melengkapkan borang deklarasi kesihatan disediakan penganjur atau pengelola.

Lawatan lapangan awal juga perlu dilakukan untuk menilai risiko keselamatan dan kesihatan, serta mendapat pengesahan keselamatan daripada pihak berkuasa atau agensi berkenaan.

Selain itu, penerangan perlu diberikan kepada murid, berkaitan langkah pencegahan, simptom dan tindakan rawatan sebelum acara dilaksanakan.

Selepas tamat aktiviti sukan, guru atau murid perlu memantau kesihatan kendiri selepas aktiviti dilaksanakan dalam tempoh sebulan.

Garis panduan itu mampu menghasilkan persekitaran lebih selamat untuk semua peserta pertandingan pada masa hadapan.

Terdahulu, keputusan sampel air di kolam Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin, Johor Bahru, Johor yang dihantar ke Jabatan Kimia pada Ahad lalu, disahkan tercemar bakteria e-coli, semalam.

19 daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air di kolam renang berkenaan, 25 Julai lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE