fb fb fb fb fb

Johari terima kunjungan hormat Speaker Dewan Thailand

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul bersama Speaker Dewan Rakyat Thailand Wan Muhamad Noor Matha

KUALA LUMPUR, 25 Jun - Presiden Perhimpunan Kebangsaan Thailand, Wan Muhamad Noor Matha mengadakan kunjungan ke bangunan Parlimen sebagai sebahagian jadual lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga Khamis.

Lawatan itu diadakan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama dalam pelbagai bidang di antara Malaysia dan Thailand.

Menerusi lawatan itu, satu sesi mesyuarat dua hala antara Wan Muhamad Noor yang juga Speaker Dewan Perwakilan Thailand dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul bersama ahli Kumpulan Persahabatan Parlimen Malaysia bagi Asia Tenggara turut diadakan.

Ini termasuk pembangunan kapasiti antara Parlimen Malaysia dengan Parlimen Thaliand, isu pendidikan, perkembangan komuniti Islam di Thailand serta hal-hal berkaitan pekerja Thailand di Malaysia.

Sementara itu, Johari menerusi hantaran di Facebook berkata, mereka telah membincangkan usaha pembangunan kepakaran kakitangan Parlimen ke arah memastikan peranan institusi legislatif sebagai badan semak imbang yang efektif, cekap dan telus.

"Parlimen Malaysia siap sedia untuk menjadi tuan rumah Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) sempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025.

"Dan saya telah menjemput Parlimen Thailand untuk berkerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, pembangunan kepimpinan generasi muda, pelancongan dan keterjaminan makanan.

"Sudah tentu, kami senada dalam soal kepimpinan generasi muda yang perlu menjadi pemberdaya masyarakat ASEAN ampuh dan berdaya saing.

"Ini dapat dicapai apabila seluruh potensi generasi muda dimanfaatkan sepenuhnya, dan sebuah ekosistem yang positif diciptakan," katanya.

Terdahulu ketibaannya disambut Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat , Datuk Dr. Ramli Mohd Nor dan Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Muhamad Zamani Mohd Ali.

Wan Muhamad Noor dan delegasi kemudiannya dijemput memerhatikan secara langsung sesi persidangan Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat.

Wan Muhamad Noor merupakan ahli politik Muslim dari selatan Thailand dan dipilih menjadi Speaker Dewan Rakyat Thailand Mei tahun lalu, dilantik sebagai President of the National Assembly pada Julai tahun sama.

Beliau juga pernah berkhidmat dalam beberapa jawatan Kabinet, termasuk timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pengangkutan dan Menteri Pertanian.

GRACE AISYAH KEDAYAN