PUTRAJAYA, 13 Disember- Pasukan Petugas 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kekal diterajui Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meskipun telah memegang portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK).
Jelas Johari, terdapat keperluan untuk terus menerajui pasukan petugas khas itu, memandangkan masih terdapat isu yang belum diselesaikan terutama dalam usaha mendapatkan semula aset negara membabitkan skandal kewangan berkenaan.
"Meski banyak isu telah diselesaikan, namun ia masih perlu dipantau berikutan beberapa isu tertangguh melibatkan Kumpulan Goldman Sachs yang setakat ini difahamkan masih belum memenuhi penyelesaian perjanjian tuntutan yang ditandatangani dengan kerajaan Malaysia pada 2020.
"Kumpulan pelaburan tersebut didakwa enggan membayar kerana beranggapan bahawa setiap penyelesaian yang dibuat terhadap Ambank dan 'International Petroleum Investment Company' (IPIC) sebagai pemulihan aset.
"Ketika ini, isu penyelesaian tuntutan tersebut juga dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah sama ada mereka masih berhutang dengan kerajaan Malaysia atau sebaliknya.
"Malah, mereka turut bertindak menyaman Malaysia di mahkamah United Kingdom baru-baru ini, berhubung perjanjian penyelesaian mengenai peranan bank itu dalam skandal rasuah 1MDB, membabitkan berbilion dolar," kata Johari kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KPK tengah hari tadi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.