fb fb fb fb fb

JMG kenal pasti 31 lokasi panas berisiko tanah runtuh

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 6 November - Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 31 lokasi panas berisiko berlaku tanah runtuh di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan (Geologi Kejuruteraan), Bahagian Perkhidmatan Teknikal JMG, Dr Ferdaus Ahmad berkata antara kawasan berisiko adalah  Gunung Jerai di Kedah, Bukit Antarabangsa di Lembah Klang dan Cameron Highlands di Pahang.

Justeru kata Dr. Ferdaus, pasukan kerja tindakan bencana geologi ditubuh JMG bagi mengendali kejadian tanah runtuh.

"Bagi zon bahaya sebenarnya kita akan membahagikan kawasan yang telah runtuh dan bagi zon kawalan pula untuk makluman bahawa itu merupakan zon yang mempunyai ancaman terhadap bencana geologi susulan," katanya kepada pemberita selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Tambah Dr. Ferdaus, orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti lokasi yang pernah mengalami tanah runtuh diingatkan untuk peka dengan keadaan sekeliling dan melaporkan sebarang insiden kepada pihak JMG atau agensi berkaitan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN