fb fb fb fb fb

JKR tutup laluan utama Jalan Lojing-Gua Musang

Jalan utama Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau ditutup kepada semua kenderaan/FOTO JKR Gua Musang

GUA MUSANG, 25 Disember - Jabatan Kerja Raya (JKR) menutup jalan utama Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau di sini kepada semua kenderaan selepas ditenggelami banjir susulan hujan lebat sejak malam Sabtu.

Penutupan laluan melibatkan jarak sejauh 100 meter di kawasan itu dan tiada laluan alternatif lain untuk jalan tersebut.

“Ia melibatkan jarak sejauh 100 meter dan kedalam air pula 2.5 meter,” menurut JKR Gua Musang menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

RTM semalam melaporkan ratusan kenderaan yang menggunakan Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau di sini, terkandas lebih enam jam selepas jalan tersebut dilimpahi air sungai susulan hujan lebat.

Dalam kejadian pukul 6.00 pagi itu, kira-kira lebih 300 pengguna laluan ke Cameron Highlands, Pahang atau bandar Gua Musang terkandas selepas jalan tersebut dinaiki air.

Menurut pengguna jalan raya tersebut, laluan itu merupakan jalan utama untuk ke Tanah Tinggi Cameron Highlands dan penduduk tempatan serta Orang Asli ke Bandar Gua Musang.

GRACE AISYAH KEDAYAN