fb fb fb fb fb

JKNS sahkan 82 individu alami gejala keracunan makanan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 11 Jun - Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seramai 82 daripada 247 pelajar dari 30 buah sekolah yang terlibat dalam Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) mengalami gejala keracunan makanan di Gombak, Selangor.

Pengarah Kesihatan Negeri JKNS, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata seramai 28 kes telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes yang dimasukkan ke wad.

"Dua kes yang dilaporkan telah meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan.

"Kes pertama adalah seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan kes kedua adalah kanak-kanak perempuan berumur 1 tahun 7 bulan.

"Kedua-duanya telah memakan makanan disyaki yang dibawa pulang oleh ahli keluarga," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, mangsa yang lain mengalami gejala selepas memakan sarapan pagi yang dibekalkan kepada guru-guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar.

Menurutnya, keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa.

"Kes berlaku melibatkan urus setia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berumur di antara 1 tahun 7 bulan hingga 58 tahun.

"Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya," ujar beliau.

Katanya lagi, holding sample makanan telah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan tersebut.

"Jabatan masih menjalankan siasatan bagi mengesan kes-kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan.

"Individu terlibat yang mengalami gejala agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini," katanya.

Oleh itu, JKNS menasihati penganjur program dan orang awam perlu berhati-hati memilih premis dan pembekal makanan yang bersih.

Tambah beliau orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan atau minum bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.

"Pengendali makanan pula perlu sentiasa menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta minuman bagi mengelakkan kejadian penyakit atau wabak keracunan makanan.

"Jabatan merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa," katanya.

BERITA BERKAITAN:

GRACE AISYAH KEDAYAN