fb fb fb fb fb

JKM sudh ada senarai nama untuk dipertimbang sebagai penjaga kepada adik Zayn Rayyan

Datuk Seri Nancy ditemui media selepas merasmikan Program Autism Empowerment Weekend di Kuching

KUCHING, 15 Jun- Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM kini sedang mengenal pasti orang yang layak dan sesuai (OYLS) untuk dipertimbang sebagai penjaga mutlak kepada adik allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mattin.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, individu yang akan diberikan kelulusan secara mutlak sebagai penjaga kanak-kanak berkenaan juga akan diberikan tempoh jagaan sementara terlebih dahulu.

Katanya, JKM perlu berhati-hati dalam mengenal pasti penjaga yang boleh menjaga anak yang mempunyai ciri-ciri autisme.

Buat masa kini, mahkamah telah memberikan perintah penjagaan sementara adik Zayn Rayyan selama dua bulan sehingga 9 Ogos depan kepada JKM.

“Pada masa yang sama, pihak JKM sudah bersedia untuk memberikan nama-nama orang yang mungkin layak dan sesuai, disyorkan sahaja tetapi itu akan diperhatikan juga.

"Difahamkan adiknya pun tidak dapat bercakap, jadi perlu pemerhatian serta penjagaan khusus dan ditempatkan di rumah perlindungan JKM, bukan kita hendak melabelkannya autisme namun karakternya ada.

"Kadang-kadang orang-orang tidak ada keserasian, biar anak itu dengan OYLS ini mungkin dua minggu, lepas 2 minggu 2 atau bulan. Selepas itu akan diberi tempoh tertentu, untuk memastikan mereka dapat bersama.Akan ada pemantauan dari semasa ke semasa,"katanya.

Beliau berkata demikian katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Autism Empowerment Weekend di Kuching.

Semalam, Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim dilaporkan berkata pihaknya memperoleh perintah jagaan sementara kanak-kanak tersebut bawah Seksyen 25 (2), Akta Kanak-kanak 2001 yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, KPWKM menggalakkan Persatuan atau Perusahaan Sosial untuk memohon geran daripada kementerian bagi menjalankan Program Intervensi Awal, EIP untuk kanak-kanak autisme.

Datuk Seri Nancy memaklumkan, ia bagi menarik tenaga pengajar untuk menyertai persatuan atau perusahaan terbabit dalam pelaksanaan program berkenaan sekali gus membolehkan lebih ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme mendapatkan perkhidmatan EIP di tempat mereka pada kadar yang lebih rendah.

Ia berikutan bayaran untuk mengikuti EIP di pusat swasta adalah tinggi.

Beliau turut menyeru orang kurang upaya, OKU yang masih belum berdaftar dengan JKM supaya segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka mengikuti pelbagai program serta menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Nancy memaklumkan di Sarawak, sehingga 31 Mei lepas, daripada 50,712 OKU yang berdaftar bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, 8.79 peratus atau 4,459 merupakan individu yang didiagnos sebagai autisme.

Manakala, sebahagian daripada 724 OKU yang didiagnos sebagai ADHD juga mempunyai ciri-ciri autisme secara bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE