fb fb fb fb fb

JKM sedia bantu ibu bapa hadapi isu besarkan anak

BATU PAHAT, 13 Jun- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia membantu mana-mana ibu bapa, yang menghadapi isu ketika membesarkan kanak-kanak autisme kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pihak JKM akan meniliti isu yang dihadapi sebelum memberi bantuan yang sesuai.

"Saya menasihatkan ibu bapa yang memerlukan bantuan daripada JKM, diminta datang ke hadapan dan maklumkan kepada JKM.

"JKM juga boleh membantu, dan dari segi pembiayaan sekiranya kewangan berkurangan, JKM akan meneliti dan diberi bantuan yang bersesuaian," katanya dalam Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Onn di sini.

Program itu telah memanfaatkan 60,000 pelajar daripada 60 buah sekolah di lapan negeri, sejak dilancarkan pada tahun lalu.

Inisiatif itu akan diteruskan untuk mencapai sasaran penganjuran di 300 buah sekolah.

Noraini turut menjelaskan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga mempunyai peranan penting bagi membantu pihaknya menangani kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain sebanyak 2,777 kes kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan, direkodkan dalam tempoh Januari hingga Mac lalu.

Daripada jumlah itu, 804 kes melibatkan kanak-kanak lelaki, manakala 1,473 kes lagi melibatkan kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, kira-kira 7,658 kes direkodkan pada tahun lalu, manakala 6,770 kes bagi tahun 2022.

"Saya kirakan ada sedikit kesedaran dalam kalangan orang ramai dan masyarakat, sebab itulah mungkin ada yang melaporkan lebih banyak kes ini yang melaporkan untuk dua tahun kebelakangan ini ada sedikit pengurangan," katanya.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berperanan, menyalurkan maklumat berkaitan kes penderaan dan pengabaian, yang berlaku di kampung masing-masing kepada kementerian.

Tanggungjawab itu juga digalas Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI