
ALOR SETAR, 5 Februari – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menegaskan pihaknya akan memantau keperluan dua anak mangsa kes pembunuhan eksekutif bank, Zahrullail Basir, 52 tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU)
- JKM akan memantau dan menyusul kes keperluan dua anak mangsa OKU selepas lawatan awal.
- Keluarga masih mengalami trauma, emosi terkejut dan sedih menurut temu bual JKM.
- Anak ketiga menjaga semua adik-beradik semasa cuti semester hingga Aidilfitri.
- Anak sulung ditahan reman untuk siasatan berkaitan kes pembunuhan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Zakaria Taib ketika dihubungi RTM berkata, berdasarkan temu bual dalam lawatan pihaknya semalam keluarga itu masih trauma dengan kejadian terbabit.
“Hanya anak ke-3 sahaja yang dapat ditemu bual bersama seorang bapa saudaranya. Didapati keluarga mangsa masih trauma dan keadaan emosi yang terkejut dan sedih. Pihak JKM akan menyusul kes ini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ketika ini kesemua anak mangsa dijaga oleh anak ketiga yang juga merupakan penuntut sebuh universiti di Johor berikutan dalam tempoh cuti semester sehingga Hari Raya Aidilfitri nanti.
Media melaporkan pada Isnin, mangsa, Zahrullail yang juga ibu kepada suspek ditemukan maut dengan tiga kesan tikaman serta kesan luka dan lebam pada anggota badannya dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Tanjung Bendahara.
Susulan kejadian itu, anak sulungnya yang berusia 29 tahun itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 Februari lalu untuk membantu siasatan.