JKM Kelantan terus pantau isu dua warga emas hidup daif, terabai

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh

KOTA BHARU, 8 Februari -Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan terus memantau dua warga emas lelaki dari Pasir Mas yang hidup dalam keadaan daif dan terabai sebagaimana yang tular di media sosial baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKM Kelantan akan terus memantau dua warga emas lelaki dari Pasir Mas yang hidup daif dan terabai.
  • Kedua-dua warga emas layak menerima bantuan bulanan RM500 daripada JKM dan bantuan telah disalurkan.
  • Pengabaian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994; orang ramai diminta melapor.

Pengarahnya Che Samsuzuki Che Noh berkata kedua-dua warga emas tersebut layak menerima bantuan daripada JKM sebanyak RM500 sebulan.

“Bagi kes pertama iaitu seorang warga emas lelaki berusia 79 tahun yang tinggal di Kampung Repek, JKM salurkan Bantuan Pesakit Terlantar RM500 pada bulan ini dan akan terus pantau untuk melihat perkembangannya.

“Kes kedua pula melibatkan warga emas berusia 61 tahun dari Bunut Susu, kita juga telah beri bantuan bulanan RM500,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan dan Sukarelawan Negeri Kelantan di Kubang Kerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Che Samsuzuki berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa yang memerlukan perlindungan dan sokongan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).

“Akta ini bukan hanya diguna pakai kepada pengabaian atau penderaan yang berlaku antara suami isteri sebaliknya ia juga boleh dikenakan kepada individu yang melakukan perkara sama kepada ibu bapa.

“Bagaimanapun, tindakan ini boleh diambil sekiranya JKM menerima syor daripada pihak polis dan kes yang berlaku di Kampung Repek tidak sampai ke tahap ini (dikenakan tindakan),” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kes warga emas diabaikan dengan merujuk ke Pejabat JKM negeri atau daerah.

“Selain itu, masyarakat juga boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Talian Kasih 15999 untuk membuat aduan atau layari laman sesawang JKM kerana kita akan melakukan siasatan sebaik menerima aduan,” katanya.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok milik seorang aktivis masyarakat memaparkan video dua warga emas lelaki dari Pasir Mas, dalam keadaan daif dan terabai.-BERNAMA