KUCHING, 1 November - Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok pelbagai jenama dan minuman keras ke luar Kuching, di Kuching-Samarahan Expressway, pada 22 Oktober lepas.
Menurut Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, kejayaan itu hasil pemeriksaan sepasukan anggota Unit Marin Kuching ke atas sebuah lori kargo yang mencurigakan ketika dalam pergerakan di laluan berkenaan.
Pemeriksaan rapi ke atas muatan lori kargo tersebut menjumpai 3.4 juta batang rokok pelbagai jenama dan 2,376 liter minuman keras, disyaki tidak berkastam.
"Jumlah rokok dan minuman keras termasuk duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM2.366 juta, dan turut menyita sebuah lori yang anggarannya RM70,000. Jumlah nilai keseluruhannya ialah RM3.153 juta", katanya pada sidang media di Kuching, hari ini.
Pemandu lori warga tempatan berusia 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau mendedahkan modus operandi kes berkenaan dengan mengangkut rokok dan minuman keras tidak berkastam di dalam lori sejuk beku melalui gudang transit di Kuching.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.