fb fb fb fb fb

JKDM Sarawak patahkan cubaan seludup dadah guna kargo udara

Foto RTM

MIRI, 5 Julai- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah merampas 24 kotak kiriman kargo udara disyaki mengandungi dadah berbahaya seberat 49.318 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM2 juta di sini.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata rampasan itu dilakukan pada 27 Jun lalu pada pukul 8.00 malam.

Menurut Norizam, ia berdasarkan maklumat daripada risikan Ibu Pejabat JKDM Putrajaya yang disalurkan oleh Zon Risikan Sarawak.

Sepasukan pegawai Kastam daripada Unit Narkotik Kastam Stesen Miri telah berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah berbahaya Jenis Ketamin dengan penahanan seorang lelaki warganegara tempatan di dalam sebuah kereta.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan sejurus selepas menuntut 24 kotak kiriman daripada sebuah syarikat penghantaran kargo udara di sini.

Pemeriksaan awal keatas kenderaan berkenaan telah membawa kepada penemuan 24 kotak yang diikrar sebagai bahan asas untuk pembuatan sabun asas yang telah dimampatkan di bahagian bonet kereta tersebut.

Barang kes beserta kereta tersebut telah disita di bawah Seksyen 30 ( 1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi siasatan lanjut.

Suspek dituduh di Mahkamah Miri dan direman bermula 28 Jun 2024 hingga 03 Julai 2024 .

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta hukuman sebat tidak kurang dari 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD