fb fb fb fb fb

JKDM sahkan kontena asal Israel di Pelabuhan Iskandar Puteri untuk transit

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 5 Jun- Kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, yang didakwa berada di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, di sini, disahkan sebagai kontena muatan pindah kapal,

Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi dalam kenyataan memaklumkan, kargo berkenaan akan bergerak dari pelabuhan berlepas ke pelabuhan destinasi melalui pelabuhan ketiga seperti dalam jadual perjalanan.

"Kontena berkenaan akan transit sementara di pelabuhan ketiga dan akan ke destinasi seterusnya negara lain.

"Hasil semakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, tiada pergerakan dagangan ke dalam Malaysia, sama ada melalui pintu keluar atau pintu masuk (import dan eksport) menggunakan kontena syarikat perkapalan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pergerakan dalam zon bebas adalah tertakluk kepada Akta Zon Bebas 1990, dan dalam kawalan Pihak Berkuasa yang mempunyai hak di zon bebas berkenaan.

"Dalam konteks ini (kontena berpangkalan dari Israel) pihak berkuasa zon adalah Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd," katanya lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Pengangkutan membantu siasatan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri, di sini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

Sabtu lalu, ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dilaporkan berkata, beliau terkejut apabila menerima aduan penduduk yang mendakwa pelabuhan berkenaan masih menerima masuk kontena yang dibawa dari Israel.

Dalam pada itu, Aminul Izmeer berkata, JKDM Johor sentiasa memastikan kawalan yang sempurna di pintu keluar dan pintu masuk negara (import / eksport), termasuk menguatkuasakan larangan import/eksport kontena milik syarikat perkapalan dari Israel oleh Kementerian Pengangkutan.
 
 
 
 

ZEHRA BINTI ZAMBRI