fb fb fb fb fb

JKDM Johor rampas arak dan rokok tidak bercukai bernilai RM20.1 juta

Aminul Izmeer Mohd Sohaimi (dua kiri) menunjukkan barang rampasan dalam satu sidang media

JOHOR BAHRU, 20 Mac- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor merampas 69,360 tin minuman keras dan 21.7 juta batang rokok bernilai RM20.1 juta juga di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, pada 29 Januari dan 4 Mac lalu.

Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga kontena berisi minuman keras dan 160 kotak mainan plastik dalam perjalanan dari luar negara ke destinasi akhir, negeri Sabah, 29 Januari lalu.

Manakala dua buah kontena mengandungi rokok dipercayai tidak berkastam dalam perjalanan dari luar negara ke negara Mexico, 4 Mac lalu.

"Untuk kes rokok ini, barangan itu diikrar 'plastic toys' di pintu depan dan ada mainan diletakkan bersama tapi bila dibuat pemeriksaan dan kita imbas, didapati dalam kontena ada rokok,"katanya.

Jelasnya, lima buah kontena turut disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan kes berlainan, Aminul Izmeer memaklumkan pihaknya menggagalkan cubaan 10 lelaki Indonesia untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya secara haram.

Beliau berkata, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu berusia 25 hingga 50 tahun.

Pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen sah manakala dokumen perjalanan tamat tempoh.

Sebuah bot beserta enjin bernilai RM42,000 yang digunakan untuk mengangkut PATI itu turut disita.

"Dua tekong direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

"Modus operandi kes ini menggunakan jalan tidak sah dalam cubaan untuk pulang ke negara asal tanpa dokumen yang sah,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, ATIPSOM 2007.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE