JK HARMONI diperkasa, isu sensitif ditangani ikut undang-undang

R. Yuneswaran

KUALA LUMPUR, 4 Mac- Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) akan terus diperkasa sebagai platform dialog dan mediasi bagi menangani isu sensitif keagamaan dan perkauman secara berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JK HARMONI diperkasa sebagai platform dialog dan mediasi untuk tangani isu sensitif agama dan perkauman secara tertutup dan berhemah.
  • Tindakan terhadap pelanggaran undang-undang dilakukan berdasarkan laporan dan menurut undang-undang seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
  • Kementerian komited bekerjasama semua pihak; orang ramai diminta tidak mempolitikkan isu atau membuat spekulasi di media sosial.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata seramai 25 tokoh agama dilantik mewakili Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Tao, Sikh, Bahai dan Unit Lain-Lain Agama (UNIFOR) Sarawak bagi memperkukuh kefahaman antara penganut agama.

Beliau berkata jawatankuasa itu berperanan meningkatkan persefahaman, menasihati kerajaan dalam aspek dasar serta membincangkan isu sensitif secara tertutup melalui Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi bagi mengelakkan polemik awam.

Menurutnya, pendekatan mediasi tertutup penting supaya perbezaan pandangan dapat ditangani secara berhemah tanpa menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Dalam masa sama, beliau berkata kementerian tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan khusus selain Akta Rukun Tetangga, manakala tindakan terhadap kesalahan melibatkan hasutan dan penyalahgunaan media sosial terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia digunakan bagi memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan ketidakharmonian,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menegaskan tindakan akan diambil berdasarkan laporan diterima dan mengikut lunas undang-undang, sambil menyeru semua pihak memelihara perpaduan dan tidak mempolitikkan isu keharmonian negara.

Tambah R. Yuneswaran, kementerian kekal komited bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan isu sensitif berkaitan agama tidak dimanipulasi sehingga menjejaskan keharmonian negara.

Katanya, isu melibatkan penghinaan agama serta pembinaan rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan perlu ditangani berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menegaskan, sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, sebarang tindakan menyentuh sensitiviti agama wajar ditangani secara berhemah bagi mengelakkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, biarlah proses perundangan mengambil tindakan sewajarnya. Semua pihak perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya lagi

 R. Yuneswaran turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau penilaian di media sosial yang boleh mengeruhkan keadaan.