KUCHING, 19 April - Seluruh jentera kerajaan, di peringkat Persekutuan atau Negeri perlu bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya susulan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia,di sini pagi tadi.
"Segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri turut mendengar pembentangan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi mengukuhkan ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak, serta Malaysia secara keseluruhan.
Mesyuarat juga membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaras dengan perancangan Persekutuan.
Turut hadir pada mesyuarat itu, Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Tusof serta barisan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
"Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang," katanya.