(Tanah Pekuburan Islam Tok Johol di Kota Bharu, Kelantan)
KOTA BHARU, 7 Ogos- Jenazah tiga beranak yang maut dihempap pokok tumbang akibat ribut dan hujan lebat di Kampung Bukit Cina Kok Lanas, di sini, selamat dikebumikan petang semalam.
Jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Pekuburan Islam Tok Johol di Ketereh, dekat sini.
Ibu arwah Nik Amirah Nik Ab Rahman, Amnah Ismail berkata, dia tidak menyangka tiga ahli keluarganya pergi dalam kejadian menyayat hati.
Dia memberitahu akan mengalas amanah menjaga dua cucunya iaitu Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zarif, 9, yang terselamat.
"Insya-Allah selagi ada hayat, saya akan jaga mereka. Mohon Allah bagi kesihatan kepada saya untuk menjaga amanah ini," katanya.
Sementara itu, adik Allahyarham, Nik Amir Nik Ab Rahman menyifatkan pemergian kakaknya itu satu kehilangan yang amat besar buat keluarga mereka.
"Satu kehilangan besar bagi kami adik-beradik, sebab dia (Allahyarham) seorang kakak yang mengambil berat. Dia selalu bawakan makanan, kalau ada dia memang kami tidak akan sempat lapar," katanya.
Dalam kejadian pada Sabtu lalu, Nik Amirah, 40, dan suaminya, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, serta anak bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, meninggal dunia di lokasi dalam kejadian, ketika lima sekeluarga itu yang menaiki sebuah kereta melalui kawasan berkenaan dari arah Machang ke sini.
(Amnah Ismail dan Nik Amir Nik Ab Rahman)
Berita berkaitan:
Ribut: Tiga beranak maut dihempap pokok di Kota Bharu